Sejak zaman Hussein
Ahmad, Nik Mahmud Nik Daud, Datuk Ahmad Rastom Ahmad Maher hinggalah ke era
kepimpinan Tan Sri Annuar Musa pada hari ini, bolasepak Kelantan telah melalui
pelbagai revolusi dan hari ini, tanpa ragu Kelantan boleh berdiri sama tinggi,
duduk sama rendah dengan pasukan yang layak dilabel kuasa bolasepak tanah
air.
Wira silih berganti,
mungkin ramai yang sudah lupa nama-nama seperti Dali Omar, Wan Zawawi Yusof,
Mahadi Yusof, Wan Hassan Wan Ibrahim mahupun Nik Leh Nik Man, namun jutaan
peminat bolasepak Kelantan, pastinya tidak lupa akan nama wira sepanjang zaman
mereka, HASHIM MUSTAPHA.
![]() |
foto kredit : kelate.net |
Sebut sahaja nama
lagenda bolasepak tanah air dan Kelantan ini, ia persis Diego Maradona di
Argentina, Pele di Brazil, dan Roberto Baggio di Italy, begitulah popularnya
pemain ini sepanjang lebih 20 tahun mencipta nama di persada bolasepak tanah
air, dan antarabangsa hingga digelar antara pemain Melayu paling hebat pernah
dilahirkan.
Siapa yang boleh lupa gol TANDUKAN
TERBANGnya ketika membantu Malaysia menewaskan Thailand 2-0 di Sukan Sea
Jakarta 1987, atau GOL TERPANTAS Liga Malaysia jaringannya selepas hanya 26 saat
perlawanan bermula ketika seri 2-2 menentang Pahang pada 1988 (dilaporkan rekod
itu diatasi selepas 21 tahun oleh Safee Sali pada 2009, 11 saat), atau DUA GOL
SEPAKAN GUNTINGnya ketika Kelantan menewaskan Johor di suku akhir Piala FA
1993?
Itu baru mukadimah,
dan berborak panjang dengan Hashim yang nyata cukup peramah, mudah mesra dan
tidak cerewet apabila diajak berkongsi pengalamannya ketika bergelar pemain,
makin banyak yang boleh dicerita tentang anak jati Kota Bharu
ini.
![]() |
foto kredit : kelate.net |
Antara detik yang
sukar dilupakannya, dilabel ‘JAGUH KAMPUNG’ oleh bekas jurulatih kebangsaan,
Claude Le Roy, yang membimbing skuad Sukan Asia Hiroshima 1994, gara-gara
tersingkir awal di peringkat kumpulan.
“oleh sebab saya
penjaring terbanyak liga masa tu (30 gol), harapan terhadap saya memang tinggi,
tapi saya pun dah cakap awal2 lagi, orang lain trening 2 tahun, saya trening
sebulan, kena pula national team saya bukan 1st eleven, supersub, 94
tu saya dipanggil semula selepas 4 tahun tinggalkan skuad negara, memang sakit
atilah..”.
Skuad negara ketika
itu yang turut diperkuatkan antaranya Khairul Azman, Ong Kim Swee,
K.Sanbagamaran, Azizol Abu Hanifah, Dollah Salleh, Azman Adnan dan Shahrin
Majid, sekadar mencatat 1 kemenangan ke atas Hong Kong, seri menentang Thailand,
dan tewas kepada Arab Saudi dan Uzbekistan, yang kemudiannya muncul juara di
kejohanan itu.
![]() |
foto : kelate.net |
Mengimbau pembabitan
Hashim selaku pemain bolasepak, anak keenam dari Sembilan beradik ini, mula
aktif sejak zaman sekolah lagi, apabila mewakili Sekolah Rendah Ismail (2) dan
Sekolah Menengah Sultan Ismail (SMSI) di pelbagai peringkat umur, sebelum
‘bergraduat’ ke Kolej Sultan Ismail (SIC, medan utama lahirnya bakat-bakat baru
bolasepak Kelantan ketika itu).
Penampilan
pertamanya selaku pemain Kelantan, adalah pada 1982 ketika mewakili skuad Piala
Emas Raja-Raja menentang Melaka di suku akhir, dan sejak itu, Hashim mula
mengorak langkah demi langkah dalam menempa nama dan mengukuhkan reputasinya
selaku bintang bolasepak tanah air.
Meskipun memilih
untuk memberi tumpuan terhadap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun
berikutnya, Hashim kembali pada 1985 sebagai seorang pemain yang lebih matang,
menjadi asset pasukan dan dipanggil menyertai skuad negara pada usia 20 tahun,
ketika itu skuad negara di bawah bimbingan Datuk M.Chandran.
Lebih dikenali
sebagai supersub, Hashim antara tonggak yang memainkan peranan penting dalam
kejayaan skuad negara meraih pingat Perak Sukan Sea 1987, apabila menjaringkan
gol di separuh akhir, bersama Dollah Salleh, sebelum tunduk kepada tuan rumah,
Indonesia dalam aksi final.
Dua tahun berikutnya
ketika Malaysia meraih emas di bumi sendiri, Hashim tiada dalam senarai pemain,
apabila memilih untuk memberi keutamaan terhadap keluarga - melaksanakan
tanggungjawabnya sebagai seorang abang.
Memasuki era 90-an,
nama Hashim semakin meletup di arena bolasepak tanah air, malah reputasi dan
kehebatannya menenggelamkan barisan pemain import tersohor negara ketika itu
antaranya Scott Olerenshaw, Abbas Saad dan Alistair Edward.
Ingin tahu lebih
lanjut tentang pencapaian hebat pemain ini, dan mengapa Hashim bersara walhal
dia pernah bercita-cita menjadi seperti Paolo Maldini dan Teddy Sheringham
(beraksi hingga usia 40 tahun), teruskan bersama Suara Sukan, part 2 akan
menyusul.
No comments:
Post a Comment