
KOTA BHARU - Presiden
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menasihatkan Tunku
Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya tidak membawa perkara-perkara
'pelik' dalam Liga Malaysia kerana sistem yang ada sepatutnya sudah cukup baik
sekiranya dipatuhi.
Annuar mengulas mengenai perkembangan mutakhir
bola sepak negara terutama berhubung isu perpindahan Norshahrul Idlan Talaha dan
yang terbaru, apabila pasukan Johor Darul Takzim membawa Anggota Rejimen Ke-21
Gerak Khas Komando (GGK) di Stadium Sultan Muhammad IV.
Beliau berkata, tindakan mengambil pemain
pasukan lain melalui 'pintu belakang' sepatutnya tidak berlaku dan bola sepak
negara juga tidak pernah dilanda kegawatan sehingga memerlukan pengurusan
menyediakan sepasukan askar untuk mengawal ketat pemain mereka.
Justeru, beliau menyeru Tunku Mahkota Johor
yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) serta
semua individu lain tidak kira pangkat sekiranya mahu menerajui sesebuah
persatuan bola sepak perlulah mematuhi setiap peraturan dan undang-undang yang
ada.
"Saya jarang hendak memberi komen secara
terbuka kepada Tunku Mahkota Johor selaku Presiden PBNJ. Sekarang saya harus
lebih terbuka supaya dia (Tunku Mahkota Johor ) faham.
"Sebelum ini belum pernah berlaku kegawatan
dalam bola sepak negara. Sekarang timbul soal mengambil pemain secara pintu
belakang, bawa masuk GGK dalam stadium, ini semua hanya dibawa oleh PBNJ
sahaja.
"Sebagai orang lama, saya sebagai Presiden dan
dia juga sebagai Presiden, saya mahu nasihat dia dan dia juga pernah menasihati
saya sebelum ini.
"Tak perlu bawa benda pelik dalam bola sepak
negara, buat seperti biasa sahaja," katanya ketika ditemui pada Majlis
Penyampaian Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sri Melor di sini, semalam.
Baru-baru ini pasukan Johor Darul Takzim
membawa masuk GGK di stadium sehingga menimbulkan polemik adakah Stadium Sultan
Muhammad IV di Kota Bharu tidak selamat.
Pertembungan antara Johor Darul Takzim dan
Kelantan bukan sekadar di atas padang kerana sebelum liga bermula perbalahan
telah timbul membabitkan perpindahan Norshahrul ke pasukan Harimau Selatan itu
yang didakwa KAFA sebagai salah.
Bagaimanapun Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) melalui mesyuarat Jawatankuasa Pusat menjelaskan tindakan Norshahrul tidak
salah. Selain itu, tindakan membawa GGK, FAM turut mengatakan tidak ada
kesalahan.
Dalam pada itu Annuar ketika ditanya mengenai
keputusan FAM itu, secara sinis berkata, setakat ini Johor Darul Takzim tidak
pernah melakukan kesalahan.
"Ambil Norshahrul runding pintu belakang tidak
salah, bagi sijil perpindahan sebelum menyelesaikan hutang tidak salah, bawak
masuk senjata pun tidak salah. Setakat ini yang saya tahu bagi FAM Johor tidak
pernah salah. Kelantan sahaja yang salah," katanya lagi
No comments:
Post a Comment