Thursday, 31 January 2013

Siapakah Hashim Mustapha?

 
 
NAMA : Hashim Mustapha
TARIKH LAHIR : 31hb. Januari 1966

TINGGI : 5' 6"BERAT : 65 kg
ADIK-BERADIK : Sembilan (keenam)
POSISI : Penyerang
STATUS : Kahwin
PENDIDIKAN : Kolej Sultan Ismail (SIC)
FIZIKAL : Sederhana tinggi
PENGALAMAN* 1982 - Mula bermain dalam pasukan Kelantan untuk Piala Emas Raja-raja ketika tingkatan empat.
* 1983 - Berehat setahun untuk menghadapi SPM
* 1984 ~ 1996 - Menjadi pemain utama Kelantan
* 1993/94 - Pemenang Kasut Emas
* 1996 ~ 1997 - Berhijrah ke negeri Kedah
* 1998 - Kembali ke Kelantan
* 1999 - Bersama pasukan Johor setelah berselisih dengan pengurusan Kelantan FA
* 2000 - Bersama JKR Kelantan
* Menyertai TNB Kelantan di pusingan kedua Premier II 2001
* 2008 - Jurulatih Skuad Presiden Kelantan
* 2010 - Pembantu Jurulatih Skuad Kelantan
Pencapaian : Pemenang kasut emas 1993-1994

Hashim Mustapha, ikon bolasepak Kelantan, dari era 80-an sehingga pertengahan 90-an. Beliau merupakan pemain yang paling masyhur di Kelantan, dan juga di se-antero Tanah Melayu. Beliau cukup digeruni lawan dengan skil & corak permainan ala akrobatik, bak seorang ahli gymnastic. Beliau pernah menjaringkan gol paling cantik side-scissor-kick sewaktu menentang Johor, sekitar awal 90-an. Beliau juga merupakan top scorer Melayu dalam liga bolasepak Malaysia 90-an, kerana telah berjaya memenangi anugerah ‘Kasut Emas’ bolasepak Malaysia, buat beberapa kali.

HAMPIR 20 tahun bergelumang sebagai pemain dengan ratusan gol dijaringkan, namun ia gagal memberi kepuasan kepada bekas penyerang kebangsaan dari Kelantan, Hashim Mustapha, sepanjang karier bola sepaknya.
Bagi Hashim, kariernya sebagai pemain tidak sempurna apabila impian membawa negeri kelahiran menjulang sebarang piala dalam liga tempatan terutamanya Piala Malaysia, gagal dipenuhi.
"Memang banyak kenangan manis selama pembabitan saya sebagai pemain, tetapi saya kecewa kerana sepanjang tempoh itu impian membawa Kelantan menjulang Piala Malaysia sebagai hadiah kepada penyokong tidak kesampaian.
"Bagi saya, skuad Kelantan pada 1993 cukup mantap untuk melangkah ke final, malangnya impian kami berkubur di separuh akhir apabila tewas kepada Kedah," katanya.Ketika menyarung jersi Kelantan, anak kelahiran Kota Bharu ini boleh dikatakan hampir setiap musim menjadi penjaring terbanyak pasukan negerinya termasuk tiga kali meraih anugerah Kasut Emas.
Malah, lebih membanggakannya anugerah itu dicapai ketika liga negara ini dipenuhi bintang penyerang import yang cukup digeruni seperti Scott Ollerenshaw, Jose Iriarte, Abbas Saad, Alistair Edwards dan Ervin Boban."Pada 1990 saya muncul penjaring terbanyak Divisyen Dua dengan 15 gol sekali gus membantu Kelantan melangkah ke Divisyen Satu pada tahun berikutnya.
"Saya masih ingat pada 1993, saya muncul penjaring terbanyak hasil jaringan perlawanan terakhir liga iaitu ketika Kelantan menentang Negeri Sembilan. "Sebelum perlawanan itu, Jose Iriarte mendahului senarai penjaring dengan 12 gol manakala saya pula mengumpul 10 jaringan tetapi dalam perlawanan terakhir Pahang, Jose gagal menjaringkan gol tetapi saya mencipta hatrik, seterusnya memenangi kasut emas dengan 13 gol," katanya.
Namun, bagi Hashim, kejayaannya memenangi kasut emas pada 1994 lebih memberi kepuasan apabila dia bukan setakat menjaringkan 29 gol daripada 30 perlawanan, malah mencatat rekod beraksi setiap minit tanpa digantikan."Tahun itu saya beraksi dalam 30 perlawanan Liga Perdana, tiga dalam Piala FA dan enam perlawanan Piala Malaysia.
Saya langsung tidak digantikan atau digantung perlawanan."Saya rasa tidak ada pemain mampu menyamai rekod saya ketika itu. Kalau ada pun mungkin Radhi Mat Din atau penjaga gol Sarawak, Mazelan Wahed," katanya tersenyum mengimbau memori indah sebagai pemain.
Selepas menggantungkan kasut bolanya sebaik musim 2001 berlabuh ketika usianya 35 tahun, Hashim tetap tidak mampu memisahkan dirinya dengan bola sepak yang dianggap sudah sebati dengan dirinya.
"Saya masih lagi bermain bola sepak... tak boleh tinggal, tapi sekadar suka-suka untuk keluar peluh. Itupun jika ada kelapangan bersama rakan-rakan," katanya..Menceritakan detik mula karier bola sepaknya, Hashim berkata dia mula mewakili Kelantan ketika baru berusia 18 tahun dalam pertandingan Piala Malaysia pada 1984.
"Waktu itu saya menyarung jersi nombor 10. Bukan sebab handal... tapi kerana pemain senior tidak berani memakai jersi itu yang pernah digunakan penyerang terbilang Kelantan, Dali Omar.
"Bila semua dah ambil nombor lain, nak tak nak hanya jersi nombor 10 saja yang tinggal," katanya.Tahun yang sama juga dia dipanggil menyertai skuad Harimau kebangsaan di bawah jurulatih Abdullah Mohamad dan Abdul Rahman Ibrahim serta berpeluang beraksi bersama bintang England, Kevin Keegan, yang menjadi pemain jemputan skuad itu.
Hashim berkata, reputasinya sebagai penjaring terbanyak menyebabkan dia sentiasa menjadi tumpuan pemain pertahanan lawan yang bukan saja mengawal ketat pergerakannya, malah sering kali membuat bentesan keras."Ketika itu, pemain pertahanan semuanya tegap-tegap dan mengamalkan corak permainan keras seperti Olobumni Adigun, Darren Stewart, Alan Davidson dan Ahmad Yusof. Tengok mereka pun dah gerun," katanya.
Pada 1996, Hashim membuat keputusan mengejut apabila berhijrah ke Kedah untuk berubah angin dan memenangi Piala FA pada tahun yang sama. Selepas dua musim bersama Kedah, dia kembali ke pangkuan Kelantan pada 1998 sebelum membantu Johor memenangi Liga Divisyen Dua pada 1999.
Bersama skuad kebangsaan, Hashim tidak dapat melupakan memori manis membantu skuad negara meraih pingat perak Sukan Sea 1987 di Jakarta yang mana Hashim menyumbang satu gol dalam saingan separuh akhir menentang Thailand.
"Sebelum perlawanan itu, ramai yang tidak memberi harapan kepada skuad negara tambahan pula Thailand dibarisi pemain ternama seperti Piyapong Pue-Onn dan Attapol Buspakom."Tetapi, segala-galanya berubah apabila saya menjaringkan gol pertama menerusi tandukan terbang sebelum Dollah Salleh menambah gol kedua. Malangnya kita tewas kepada tuan rumah, Indonesia dalam final," katanya.
Ditanya mengenai impiannya di masa depan, Hashim berkata dia bercita-cita menjadi jurulatih Kelantan suatu hari nanti dan mahu mencungkil seberapa banyak bakat baru di negeri itu."Impian menjulang Piala Malaysia sebagai pemain tidak tercapai... tetapi mana tahu saya mampu mengucupnya sebagai jurulatih," katanya.

No comments:

Post a Comment

JOHAN PIALA MALAYSIA 2012

JOHAN PIALA MALAYSIA 2012

Aku Penyokong Kelantan Tegar