
K. Rajagobal
KOTA BHARU – Isu Mohd. Badri Radzi tidak
disenaraikan dalam skuad kebangsaan pimpinan Datuk K. Rajagobal akan berterusan
selagi jurulatih itu terus bersikap mengelak daripada menceritakan keadaan
sebenar.
“Hanya Rajagobal yang boleh meredakan isu hangat
antara dia dan Badri (Piya),” kata legenda bola sepak Kelantan, Dali Omar yang
ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menyifatkan tindakan itu amat ‘tidak kena’, Dali
berkata, sebagai seorang jurulatih, Rajagobal sepatutnya memberitahu kesilapan
dan kekurangan Piya, agar pemain itu dapat memperbaikinya dan tidak kempunan
menyarung jersi kebangsaan.
Bagi Dali, Piya pada anggapannya pemain tengah
terbaik di Malaysia buat masa ini, jauh lebih baik daripada pemain Johor Darul
Takzim, Safiq Rahim yang menjadi pilihan utama Rajagobal tetapi digantung
perlawanan.
Jelasnya, Piya mempunyai kelebihan daripada semua
segi seperti kelebihan membuat sepakan sudut, pergerakan tangkas, kawalan serta
hantaran bola.
“Saya hairan, apa masalah Rajagobal sebenarnya?
Adakah kerana dia ada isu peribadi dengan sesiapa sehingga dia enggan ambil
Piya? Tidakkah dia sedar bahawa Piya pemain tengah terbaik negara sekarang?
Kalau dibandingkan antara Piya dan Safiq bagai langit dengan bumi, Piya lengkap
segala segi tapi Safiq hanya pakar sepakan sudut sahaja.
“Anda kena jujur memberitahu kepada pemain corak
permainan bagaimana yang anda mahu serta kelemahan mereka,” ujarnya kepada
Utusan Malaysia.
Beliau diminta mengulas tindakan Rajagopal yang
terus menyisihkan Mohd. Badri daripada skuad kebangsaan yang akan memulakan
kempen Kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar pada 6 Februari ini.
Dali merupakan bekas pemain kebangsaan pada awal
1970-an dan selain Kelantan, dia pernah mewakili beberapa kelab di Australia
selepas mengambil keputusan berhijrah sebelum mengakhiri karier sebagai
jurulatih di negara berkenaan.
Menurut Dali, tindakan Rajagobal mengambil pemain
muda bagi mengisi kekosongan pemain yang cedera akan membawa padah kepada
pasukan negara dalam kempen Kelayakan Piala Asia.
Beliau berkata, untuk bermain di peringkat yang
tinggi, Rajagobal sepatutnya menghantar pemain berusia 27 tahun ke atas kerana
pada usia itulah pemain negara berada pada tahap paling matang sama ada dari
sudut fizikal dan kawalan emosi.
Jelasnya, Rajagobal sepatutnya faham tahap pemain
Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan pemain Liga Perdana Inggeris yang
matang lebih awal pada usia 22 dan 23 tahun.
“Kita tidak akan mencapai apa-apa dalam Piala
Asia nanti dan apa-apa kejohanan sekalipun jika beginilah cara Rajagobal memilih
pemain kebangsaan, seolah-olah macam memilih dan mencampak bahan masakan dalam
periuk sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Kelab Penyokong Siber Bola Sepak
Kelantan (kelate.net) menempelak sikap pengendali Harimau Malaya itu yang
mengaitkan dua bekas pengendali The Red Warriors, Datuk M. Karathu dan B.
Sathianathan sebagai punca kegagalannya menyenaraikan Piya.
Timbalan Presiden kelate.net Mahizi Mahmood
menegaskan, tindakan tersebut mencermin sikap sebenar pengendali Harimau Malaya
yang dilihat seolah-olah memperlekehkan kemampuan pemain paling berpengaruh
dalam pasukan Kelantan.
“Menjadikan Karathu dan Sathianathan sebagai
punca kenapa beliau tidak memilih Piya untuk beraksi dalam skuad kebangsaan
adalah sesuatu yang tidak profesional dan boleh memberikan gambaran kurang baik
kepada kedua-dua tokoh berkenaan.
“Selaku peminat bola sepak, kami tidak boleh
menerima alasan tersebut, dan dalam hal ini beliau perlu berterus terang bagi
membolehkan semua orang tahu kenapa Piya tiada dalam skuad negara.
“Tindakan ini menunjukkan seolah-olah beliau mahu
‘cuci tangan’ dalam isu ini. Hanya beliau yang mempunyai kuasa untuk memilih
pemain bagi menyarung jersi kebangsaan atas kapasiti selaku ketua jurulatih,”
katanya.
No comments:
Post a Comment